Jul 17, 2011

Mercedes-Benz S 350 L BlueEFFICIENCY dan S 500 L BlueEFFICIENCY

Model Mercedes Benz S350 L BlueEFFICIENCY mampu menjana kuasa kuda sebanyak 306 @ 6,500rpm dan kuasa kilas maksimum ialah 370Nm @ 3500-5250rpm. Ia berupaya memecut dari 0 km kepada 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 6.9 saat sahaja. Kelajuan maksimumnya ialah 250 km/j dan dihadkan secara elektronik.


Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Car, Mercedes-Benz Malaysia, Kai Schlickum berkata, model sebelum ini hanya berupaya menghasilkan sebanyak 272hp dan tork 350Nm.
“Enjin terbaharu S350 L BlueEFFICIENCY hanya menggunakan sebanyak 7.6 liter petrol untuk setiap 100 kilometer (km). Pengurangan sebanyak 2.4 liter berbanding model sebelumnya.

“Ini menjadikannya jentera paling ekonomikal dalam kelasnya. Kadar emisi karbon dioksida pula telah diturunkan sebanyak 23.5 peratus kepada 179 gram setiap km,” katanya pada majlis pelancaran kedua-dua model itu baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Pengurusan Produk Mercedes-Benz Malaysia, Michael Chew.
Untuk model S 500 L BlueEFFICIENCY pula, ia didatangkan dengan enjin turbo kembar V8 yang dapat menghasilkan 435hp. Tork maksimum ialah 700Nm. Peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding model sebelumnya.

“Model ini menggunakan 9.3 liter petrol untuk 100 km. Pecutan dari 0 km kepada 100 km/j hanya mengambil masa lima saat. Kelajuan maksimum ditetapkan pada 250 km/j. Kadar emisi pula sebanyak 219 gram setiap km,” jelas Schlickum.

Menyentuh mengenai aspek keselamatan, Schlickum memberitahu, model S-Class kini dilengkapi dengan kamera baru dan radar sistem pembantu pemandu, Speed Limit Assist, Attention Assist Drowsiness Detection dan Adaptive Highbeam Assist.

Kedua-dua model tersebut turut dilengkapi dengan ciri Night View Assist Plus menerusi kamera infra merah yang berupaya mengesan pejalan kaki pada waktu malam.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 1951, Mercedes-Benz sudah menjual sebanyak 3.3 juta unit siri S-Class.
 Untuk pasaran tempatan, S-Class merupakan peneraju pasaran dengan mewakili 53 peratus pegangan dalam segmen tersebut.

“Pesaing terdekat kami ialah model 7 series BMW,” akui Schlickum. Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya sudah menerima tempahan awal kira-kira 10 unit model S-Class, namun tidak memberikan pecahan model berkenaan.

Tahun lalu Mercedes-Benz Malaysia merekodkan jualan sebanyak 5,003 unit kenderaan, meliputi semua model dalam pasaran tempatan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 250 sehingga 300 unit merupakan model S-Class.

Sewaktu membentangkan produk S-Class, Chew menjelaskan semua model S 500 L BlueEFFICIENCY dilengkapi dengan pakej AMG Sport. Ia didatangkan sebagai pakej standard.
Antaranya termasuklah rim aloi bersaiz 20 inci, kit badan AMG, cakera depan lebih besar, pedal tahan karat sport dengan stad getah dan karpet lantai kereta AMG.


Harga

Kedua-dua model CKD berkenaan dipasang di kilang Mercedes-Benz yang terletak di Pekan, Pahang. Mercedes-Benz S 350 L BlueEFFICIENCY dan S 500 L BlueEFFICIENCY ditawarkan pada harga RM840,888 dan RM1,056,888 seunit.

Maklumat lanjut, sila layari laman www.mercedes-benz.com.my.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...