Jul 17, 2011

Hyundai Model i10 1.25 Kappa CVVT



HYUNDAI-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) baru-baru ini melancarkan model terbaharu Hyundai Inokom i10 1.25 Kappa dengan beberapa penambahbaikan. Antaranya ialah enjin kereta kompak itu dilengkapi teknologi CVVT termasuk memiliki rekaan berwajah baru. Padanan enjin 1.25 Kappa dengan teknologi berkenaan meningkatkan kuasa dan tork maksimum kepada 63.9kW @ 6000rpm dan 119.6Nm @ 4000rpm. Jentera itu didakwa menghasilkan kadar emisi karbon yang lebih rendah.

Generasi terbaharu i10 turut dilengkapi teknologi stereng yang dikenali sebagai Motor-Driven Power Steering (MDPS). Teknologi stereng itu membantu meningkatkan kualiti kawalan stereng dan tidak lagi perlu bergantung kepada stereng jenis pam hidraulik.

Bagi aspek rekaan luaran pula, model tersebut memiliki set lingkaran lampu depan yang baru dan krom pada lingkaran lampu kabusnya. Gril heksagon yang lebih dinamik beserta logo Inokom turut diketengahkan.



Selain itu, padanan spoiler dan bampar belakang baru dengan kombinasi set lampu belakang, membuatkannya kelihatan lebih sporty. Model i10 1.25 Kappa CVVT mempunyai cermin sisi yang dilengkapi indikator lampu LED. Ia juga dilengkapi dengan rim aloi baru.

Perubahan dalaman pula meliputi panel meter dengan instrumen pencahayaan berwarna biru, petunjuk gear digital dan bahan bakar, serta rangkaian penuh lampu amaran. Model itu juga dilengkapi dengan alat pengesan ketika mengundur.

i10 1.25 Kappa dilengkapi brek cakera 13 inci di depan dan brek jenis gelendong bersaiz tujuh inci pada roda belakang. Turut disertakan ialah dua beg udara pada bahagian hadapan. Model i10 1.25 Kappa CVVT didatangkan dalam empat warna iaitu biru, perak, putih dan kelabu.
Harga bagi varian dengan spesifikasi standard di atas jalan ialah RM50,688 sebuah. Untuk varian spesifikasi tinggi, harga seunit ialah RM53,988 (atas jalan). Maklumat lanjut, sila hubungi: 1-300-13-2000.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...