Jul 17, 2011

LOTUS Bakal Dapat 480 Juta Paun


NORWICH, 17 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersetuju dengan pelan pemulihan Group Lotus memandangkan ia boleh dilaksanakan dan dicapai.

Beliau diberi taklimat mengenai pelan berkenaan semasa lawatan ke ibu pejabat Group Lotus di sini pada Sabtu. Group Lotus, anak syarikat milik penuh pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, dijangka mengeluarkan kereta sports baharu di bawah pelan berkenaan.

Najib berkata pada mulanya timbul juga sedikit rasa curiga disebabkan jumlah pelaburan yang besar diperlukan.

"Tetapi saya pulang sebagai penyokong kuat pelan pemulihan ini.

"Ingin saya nyatakan yang anda mendapat persetujuan daripada kerajaan Malaysia dan juga lembaga Khazanah Holdings untuk meneruskan pelan pemulihan ini," kata beliau pada majlis yang diadakan sempena lawatan beliau di sini.

Jumlah pelaburan yang diperlukan untuk pelan pemulihan lima tahun Group Lotus itu ialah 480 juta pound.

Najib berkata beliau mendapati tahap profesionalisme dan semangat yang tinggi di kalangan mereka yang terlibat.

Perdana Menteri berkata, beliau mendapati pelan tersebut boleh dilaksanakan dan dicapai.

"Ia mungkin suatu yang terlalu bersemangat, bercita-cita tinggi atau malah terlalu berani, tetapi bukan seperti menetapkan sasaran yang perlu diusahakan dengan lebih dan mencapai apa yang anda rasa tidak boleh dicapai," kata beliau.

Najib melawat kemudahan Lotus itu dengan diiringi antara lain oleh Pengerusi Proton Holdings Bhd Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, Pengarah Urusan kumpulan Proton Holdings Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Group Lotus Dany Bahar.

Lawatan Najib ke Norwich berlangsung sehari selepas beliau mengakhiri lawatan rasmi selama empat hari ke United Kingdom atas jemputan Perdana Menteri British David Cameron.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...