Ramai artis dan orang awam, memakai susuk dengan tujuan pelaris diri, agar muka nampak seri dan dengan tujuan nampak muda. Banyak ceramah dan rencara dalam akhbar melaporkan bahawa susuk adalah haram di pakai, kerana ia melibatkan orang itu percaya pada susuk. Susuk ialah bahan seperti emas, berlian yang dimasuk dalam tubuh, dan bahan itu mengandungi makluk halus. Ikuti kupasan Dr Amran Kasimin mengenai susuk.
Susuk adalah satu istilah,
yang merujuk kepada pemakaian atau penggunaan bahan-bahan tertentu yang
digunakan secara batin, yang juga dikenali sebagai ``ilmu rahsia diri,''
untuk tujuan-tujuan tertentu yang kebanyakannya lebih mengkhusus untuk
keperluan diri.
Ada orang yang menggunakan susuk supaya kelihatan
cantik dan orang ramai suka memandangnya, untuk memikat seseorang,
mengekal kasih seorang suami, supaya disayangi oleh majikan dan
teman-teman sekerja.
Selain untuk tujuan di atas, susuk
digunakan, dikatakan untuk menghindarkan diri daripada gangguan orang
yang dengki, daripada sihir, digunakan untuk pelaris bagi mereka yang
terlibat dengan perniagaan, yang dilakukan oleh pengusaha kedai makanan,
oleh pelakon-pelakon, penyanyi-penyanyi agar diminati oleh penonton
atau orang ramai, malah susuk juga ada digunakan oleh pelacur agar
sering dihuni oleh pelanggan.
Ada juga susuk yang digunakan
supaya badan menjadi kuat, kebal tidak lut senjata, untuk penggerun,
penunduk dan lain-lain tujuan, yang ada kaitan dengan ilmu kebatinan,
termasuk susuk yang digunakan untuk menguatkan tenaga batin.
Setiap
susuk digunakan menurut kaedah yang digunakan oleh orang-orang tertentu
yang terlibat melakukannya, yang menggunakan bahan-bahan tertentu
menurut keperluan, yang selalunya disusuli dengan kaedah-kaedah khusus,
juga pantang larang yang berlainan yang mesti diikuti, tidak boleh
dilanggar sama sekali.
Bahan susuk yang popular dan digunakan
oleh kaum wanita ialah susuk daripada bahan emas, berlian atau intan.
Susuk jenis ini dimasukkan di bahagian muka disertai dengan cara-cara
tertentu termasuk jampi mantera.
Dipercayai dengan berbuat
demikian, muka akan menjadi cantik berseri, seperti sifat emas, intan
atau berlian, bersinar dan menambat hati orang-orang tertentu, atau
setiap orang yang memandangnya.
Susuk jenis ini juga dikenali
sebagai ``susuk pengasih'' di mana caranya ialah dengan memasukkan
susuk, iaitu serbuk emas ke muka, atau menusuk emas ke pipi kanan dan
kiri. Sebelum diperlakukan sedemikian rupa, air ramuan yang terdiri
daripada pelbagai bahan termasuk beberapa kuntum bunga direndam selama
sepuluh hari. Bahan ini disimpan dalam molor (bekas kaca). Setelah tiba
tempoh air itu dituang sedikit ke dalam piring seramik dan sebutir emas
tulen diasah sehingga sebati dengan air tadi.
Sedikit kapas
digunakan untuk menggaulkan ramuan dan kemudian ditutup untuk beberapa
ketika sehingga air dan bahan tadi terserap dalam kapas. Bedak sejuk
bersama ramuan yang terserap pada kapas disapu ke pipi dan seluruh muka
sehingga kering. Orang yang berkenaan tidak boleh mandi sehinggalah esok
hari.
Ketika ini, ramuan susuk telah menyerap sebati dalam
kulit. Pemakai susuk dikehendaki berbedak sedikit sebelum keluar rumah,
yang didahului dengan bacaan jampi yang diajar oleh orang yang
memasukkan susuk tadi.
Kaedah lain ialah dengan menanam dua butir
emas sebesar biji sawi melalui kaedah batin di kedua-dua belah pipi,
sebutir di pipi kanan dan sebutir lagi di pipi kiri. Ia dilakukan pada
waktu malam ketika bulan mengambang dengan cara-cara tertentu, yang
disertai dengan jampi mantera. Perbezaan pada wajah seseorang itu
dikatakan boleh berlaku pada keesokan harinya.
Bahan susuk lain
ialah jarum emas, yang dimasukkan dalam tubuh dengan kaedah batin juga.
Semakin banyak bilangan jarum yang dimasukkan, dipercayai akan lebih
berkesan hasilnya. Jarum-jarum ini dimasukkan di bahagian muka, buah
dada dan bahagian kemaluan. Kebanyakan pelacur gemar memasukkan susuk di
bahagian kemaluan dan buah dada, bertujuan supaya buah dada sentiasa
tegang dan sentiasa segar melayani pelanggan, serta dapat memberi
kepuasan.
Tidak dapat dipastikan secara khusus bahawa susuk boleh
menyebabkan muka seseorang itu pastinya lebih cantik, tidak makan tua,
tidak berkedut, digeruni, dikasihi, menjadi kebal tidak mampan senjata
atau tenaga batin menjadi kuat, tetapi apa yang jelas amalan susuk, atau
yang berkaitan dengannya adalah termasuk dalam kategori amalan yang
melibatkan sihir, iaitu melibatkan iblis dan syaitan, ataupun jin-jin.
Amalan
susuk adalah rahsia, yang tidak didedahkan kepada umum, untuk difahami
rahsia-rahsianya. Tidak dapat diterima oleh akal, bagaimana seseorang
yang dimasukkan pada mukanya, serbuk berlian, serbuk emas, jarum emas
dan sebagainya, di bahagian kening, bawah dagu dan sebagainya
menyebabkan muka seseorang itu dilihat begitu cantik, termimpi-mimpi
waktu tidur dan berkhayal ketika hendak lelap.
Semuanya tidak
akan berlaku pada pengamatan umum. Tetapi ia boleh berlaku dengan
penglibatan iblis dan syaitan, di mana dengan adanya iblis syaitan yang
dipanggil menggunakan jampi mantera dan serapah dan sebagainya
menyebabkan apa yang dilihat oleh manusia itu boleh berubah.
Mata
manusia boleh terpesong atau tersihir, akibat penglibatan iblis dan
syaitan itu menyebabkan sesuatu yang buruk, yang normal itu kelihatan
cantik, seperti yang berlaku ke atas mereka yang dimasukkan susuk.
Itulah
di antara ciri sihir di mana sesuatu yang berlaku itu sebenarnya bukan
hakikat, tetapi tipu daya belaka atau ``khayali,'' yang tidak dapat
difikir oleh akal manusia, bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku,
yang diistilahkan sebagai ``khariqu `l-adah'' (mencarik adat atau
berlaku di luar adat kebiasaan).
Jelasnya pandangan yang cantik,
menawan, menakutkan atau menggerunkan menyebabkan orang yang memandang
itu tunduk berlaku kerana adanya penglibatan iblis dan syaitan.
Setiap
perbuatan atau tindak-tanduk yang disertai atau disokong yang disertai
oleh makhluk ini, ia dikategorikan dalam amalan sihir. Sihir termasuk
dalam kategori amalan dosa-dosa besar yang boleh membawa syirik, satu
dosa yang tidak diampuni.
Fenomena seperti ini sama seperti yang
berlaku di kalangan pemain silap mata, yang mencari nafkah di tepi-tepi
jalan atau di tempat pertunjukan eksklusif. Di tepi jalan raya pemain
silap mata menusukkan pisau tajam menembusi leher kanak-kanak yang
dibawa bersama dengannya, yang dilihat dengan jelas oleh mata zahir.
Tidak
lama selepas itu, selepas pertunjukan itu tamat, kanak-kanak tadi
kelihatan berlari-lari atau mengemas barangan yang ada padanya tanpa ada
bekas luka atau darah di lehernya. Apa yang berlaku bukan hakikat,
tetapi mata melihat jelas adanya tusukan pisau di leher.
Berdasarkan
keterangan ini saya berkeyakinan bahawa apa yang berlaku ke atas
saudari, di mana muka saudari kelihatan begitu cantik, hinggakan kawan
sesama perempuan pun begitu terpesona dengan kecantikan tadi.
Perantaraan
Tidak
mustahil apa yang berlaku hasil daripada susuk yang dimasukkan dalam
diri saudari, di bahagian muka ketika berumur 25 tahun, biarpun saudari
tidak memahami apa perlunya diperbuat demikian. Inilah yang berlaku
kepada sebahagian daripada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan
yang menggunakan atau melibatkan jin-jin.
Penggunaan bunga-bunga
pelbagai warna, bahan-bahan yang terdiri daripada jarum emas, serbuk
intan berlian dan sebagainya itu hanya perantaraan semata-mata,
dijadikan iktibar atau lambang, tidak lebih daripada itu.
Betapa
indahnya bunga, menawan dan disukai ramai, baik lelaki dan perempuan,
maka begitulah ibaratnya pandangan manusia kepada orang yang menggunakan
bahan tadi. Begitu juga dengan penggunaan bahan-bahan lain, yang
terdiri daripada serbuk emas atau jarum emas, tidak lebih daripada itu.
Faktor
utama melahirkan keberkesanan atau natijah yang berlaku pada diri
saudari ialah penglibatan jin-jin dalam proses memasukkan bahan susuk
dalam tubuh tadi, di mana proses tersebut dikategorikan sebagai proses
kebatinan.
Bahan tadi digosok-gosokkan pada bahagian tertentu
pada tubuh, lalu bahan tadi meresap hilang menyerap dalam tubuh atau
muka. Selain daripada itu jampi mantera juga digunakan. Rangkaian kata
ini menjadi perantaraan untuk memanggil datang makhluk-makhluk halus
yang terdiri daripada jin-jin.
Adapun amalan atau bacaan yang
terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir ataupun amalan-amalan
lain yang dilakukan oleh orang yang memasukkan susuk atau orang yang
dimasukkan susuk hanya merupakan unsur-unsur Islam yang diselit-selitkan
di celah-celah amalan kebatinan Melayu, yang sama sekali tidak
memperlihatkan atau membuktikan bahawa amalan susuk itu salah satu
daripada ajaran Islam.
Walaupun demikian apa yang berlaku iaitu
dengan adanya unsur-unsur Islam tadi, ia menjadi satu alasan untuk
menyatakan bahawa penggunaan tersebut membuktikan amalan ini tidak
bertentangan dengan ajaran Islam, salah satu daripada usaha yang
dilakukan selaras dengan kehendak Islam. Demikianlah kecelaruan yang
wujud dalam amalan kebatinan Melayu, apabila unsur-unsur Islam itu
diselit-selitkan dalam budaya hidup manusia.
Allah memberi
amaran, seperti yang termaktub dalam al-Quran bahawa syaitan itu adalah
musuh yang nyata bagi orang yang beriman. Dalam keadaan apa sekalipun,
makhluk ini hendaklah dianggap sebagai musuh, tidak kira sama ada
makhluk jin ini boleh menyebabkan seorang itu kelihatan cantik, muka
sering berseri, disukai ramai, dipandang manis digeruni, badan menjadi
kebal atau tujuan-tujuan lain, untuk kepentingan diri sendiri atau untuk
ramai.
Makhluk ini, dalam keadaan apa sekalipun hendaklah
dianggap sebagai musuh. Orang yang memasukkan susuk dalam tubuh, dengan
cara yang dijelaskan, adalah orang yang mengundang, memasukkan makhluk
iblis dan syaitan dalam tubuh. Sayangnya manusia menjadi keliru apabila
meneliti amalan zahir yang dimasukkan dalam tubuh ialah serbuk intan
berlian atau jarum emas, padahal Allah memberi amaran supaya setiap
orang itu menjauhkan diri daripada makhluk ini.
Allah meminta
setiap orang itu memohon perlindungan kepada-Nya, memang ada di kalangan
manusia yang memohon perlindungan daripada syaitan dan sesungguhnya
syaitan itu tidak melakukan sesuatu, selain daripada lebih menyesatkan.
Tidak
mudah bagi syaitan itu menguasai diri seseorang, tetapi apabila syaitan
itu diundang masuk, meresap dalam diri seperti melalui amalan susuk,
maka bagi syaitan itu jalan-jalan yang luas lagi mudah lalu akhirnya ia
akan menyesatkan, menyakiti jasad manusia itu hasil daripada kesilapan
diri manusia itu sendiri, biarpun hanya untuk bersuka-suka mengikut apa
yang dilakukan oleh kawan ini.
Oleh Dr. Amran Kasimin
Utusan Malaysia
Susuk ustaz kata haram, kenapa nak pakai lagi
ReplyDelete