KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata laporan penuh berhubung tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat akan dibentangkan di Kabinet bagi membolehkan ketetapan berhubung pembangunan di tanah berstatus pertanian dan kawasan bercerun dibuat.
"Kabinet akan mendapatkan laporan penuh tragedi ini dan mengambil ketetapan yang bersesuaian berdasarkan laporan dan cadangan yang dikemukakan," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini Selasa.
Najib, yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, terus ke lokasi kejadian sejurus tiba di tanah air dari Amerika Syarikat selepas melakukan satu siri lawatan kerja ke Qatar, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Sabtu lepas yang menimbus 25 mangsa, meragut 16 nyawa manakala sembilan lagi terselamat.
Pada masa sama, Perdana Menteri mahu tinjauan menyeluruh dilakukan terhadap bangunan dan rumah yang dibina di atas tanah berstatus pertanian bagi meninjau kemungkinan tanah berkenaan terdedah kepada risiko tanah runtuh.
Beliau berkata penghuni rumah yang tinggal di kawasan berhampiran cerun terdedah kepada bahaya dan kebanyakan rumah yang dibina di atas tanah pertanian tidak mengambil kira serta mematuhi garis panduan ditetapkan.
Mengikut Kanun Tanah Negara, rumah boleh dibina di atas tanah berstatus pertanian tetapi ia harus mengikut garis panduan ditetapkan, katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan terhadap pemilik tanah yang berdegil untuk berpindah sekiranya tanah mereka diklasifikasi sebagai berisiko, Najib menyifatkannya sebagai "persoalan pilihan".
"Mungkin bagi mereka tanah itu amat bernilai dan satu-satunya harta yang mereka miliki, jadi selagi malapetaka tidak berlaku mereka tidak bersedia melakukan sesuatu untuk mengikut garis panduan yang ditetapkan itu," katanya.
Najib berkata pemilik tanah harus bersedia untuk berkorban sesuatu tetapi malangnya kebanyakan mereka tidak sanggup untuk berbuat demikian.
"Suatu pilihan perlu dibuat apabila notis dikeluarkan kepada pemilik, mereka harus patuh jika tidak mereka terdedah kepada risiko kehilangan nyawa," katanya.
Najib berkata bagi pembinaan rumah di kawasan bercerun, terdapat peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi antaranya pertimbangan kecuraman dan ketinggian cerun berkenaan.
Ditanya sama ada kerajaan bercadang mewujudkan agensi khas untuk pengurusan cerun di negara ini, Najib berkata ia bergantung kepada laporan penuh tragedi itu dan sebarang cadangan berkaitan akan diputuskan kelak.
Hong Kong, kata beliau merupakan antara negara yang mewujudkan entiti khusus mengenai pengurusan kawasan cerun dan bertanggungjawab menyalurkan maklumat berhubung kawasan cerun di wilayah itu.
Agensi itu juga bertanggungjawab menyebarkan mesej amaran dan tindakan keselamatan dalam kejadian tanah runtuh serta menetapkan garis panduan dan maklumat bagi penyenggaraan serta kerja-kerja penambahbaikan cerun.
Ditanya sama ada kejadian tanah runtuh di rumah anak-anak yatim itu dapat dielakkan sekiranya garis panduan tertentu dipatuhi, Najib, yang bersetuju pematuhan garis panduan mungkin mampu mengelakkan tragedi itu, bagaimanapun mahu laporan tragedi diteliti terlebih dahulu bagi mendapatkan gambaran sebenar.
Selain faktor alam, Najib berpendapat terdapat kelemahan dalam penguatkuasaan, terutamanya pihak berkuasa tempatan untuk memaklumkan penduduk bahawa tanah itu berisiko mengalami tanah runtuh.
Ini kerana sebelum kejadian Sabtu lepas, sudah terdapat beberapa tanda awal bahawa kawasan berkenaan tidak selamat ekoran beberapa runtuhan kecil yang berlaku sebelumnya.
"Berdasarkan imej satelit, sebelum kejadian telah berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran bangunan itu, dianggarkan isi padu tanah yang runtuh dalam 30 lori selain adanya tanda seperti pokok yang condong, keretakan bangunan yang sepatutnya diambil kira," kata Perdana Menteri.
Dilaporkan, hujan lebat luar biasa selama tiga hari mengakibatkan stuktur tanah menjadi lemah hingga membawa kepada berlakunya kejadian tanah runtuh di rumah anak-anak yatim itu.
Taklimat Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ir Ashaari Mohamad semalam melaporkan mengenai data taburan hujan yang diperoleh untuk tiga hari iaitu sebanyak 29 milimeter (mm) hujan turun di kawasan itu pada Khamis, diikuti 41 mm pada hari berikutnya dan meningkat mendadak kepada 80 mm pada hari kejadian.
Hadir sama di lokasi kejadian ialah isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.