Apr 10, 2012

Kelebihan Tranformasi Kedai Runcit


Penyertaan dalam program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) merupakan keputusan yang tidak mengecewakan bagi 519 pemilik kedai di seluruh Malaysia. Ini termasuk Cik Jessica Wong, seorang ibu tunggal berusia 42 tahun yang menguruskan sebuah kedai runcit di Bandar Bukit Puchong.

Pada April 2011, beliau menyertai program perintis tersebut dan menyaksikan peningkatan hasil mingguan daripada RM20,000 kepada RM29,000 beberapa minggu kemudian. Program TUKAR dilancarkan pada bulan Januari 2011 untuk membantu pekedai-pekedai runcit meningkatkan daya saing melalui penggunaan teknologi moden dan proses perniagaan yang efisien.

Dengan bimbingan dan bantuan En. Mohamad Harith De Souza Abdullah, pengurus projek komersial Tesco, kedai tersebut telah berubah daripada kedai yang suram kepada sebuah kedai runcit yang menarik dan diterangi cahaya. Kedai yang asalnya tidak teratur menjadi lebih moden dan sistematik, dalam hanya tempoh 10 hari selepas mendapat khidmat nasihat daripada Harith.

"Kedai ini seperti bertenaga semula. Dahulu, saya hanya mempunyai lantai konkrit yang berdebu dan rak berkarat. Sekarang, lantai sudah berjubin dan saya mempunyai rak baru serta alat penghawa dingin. Ini menjadikan pengalaman membelibelah di sini lebih selesa untuk pelanggan-pelanggan saya," jelasnya.

Jessica juga menerima khidmat nasihat tentang cara-cara menjadikan kedai tersebut lebih efisien dengan mengubah susun atur barangan untuk dijual dan sistem operasi, menyediakan struktur planogram dan yang penting sekali, penyusunan semula cara pengurusan stok di kedai tersebut.

TUKAR juga merupakan satu pengalaman yang mengubah hidup Puan Francisca Jeyanthan yang mewarisi kedai Pasar Mini Bandar Baru Merlimau daripada bapanya. Beliau hampir-hampir berputus asa memandangkan pendapatan yang diterima agak rendah, membuatkan beliau kurang pasti untuk menguruskan perniagaan itu.

"Sebelum ini, jualan seharian hanya RM1,000 hingga RM1,900. Dengan bimbingan Mydin, ia kini sebuah kedai serbaneka yang efisien dan teratur dengan peningkatan jualan sehingga RM3,000 sehari," kata Francisca.

"Kedai kini telah digantikan dengan jubin, pendawaian elektrik baru dan selamat, rak baru yang berkilat, perkakasan baru serta produkproduk telah disusun semula menjadikan ianya lebih menarik. Saya amat berterima kasih kepada program ini," kata Francisca.

Pada tahun 2011, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk program ini. Peruncit ditawarkan pinjaman mudah antara RM20,000 dan RM60,000 dengan tempoh pembayaran semula selama 15 tahun.

TUKAR bermatlamat untuk mentransformasi dan memodenkan 5,000 kedai di seluruh negara menjelang tahun 2020.

Sumber : ETP annual report 2011

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...