20 Amalan Pemurah Rezeki
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri
hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam,
sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika
tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan
Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu
Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan
dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih
dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan
kehidupan si hamba. Sabda Rasulullah SAW : “Barang siapa memperbanyak
istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya,
menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang
tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika
masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu
rezeki. Sabda Rasulullah SAW : “… dan seorang lelaki akan diharamkan
baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah SWT
Banyak ingat Allah SWT buatkan hati
tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri
kepada orang beriman. Firman-Nya: “...(iaitu)
orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Rasulullah SAW juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Rasulullah SAW juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab
mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW : “Apabila hamba
itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah
rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini
termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak
yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
Sabda Rasulullah SAW :
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana
orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab
Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti
sabda Rasulullah SAW : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka
Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya
kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan
jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula
boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit
rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Rasulullah SAW bersabda :
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka
hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW
dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan
rezeki oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah berada
dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.”
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan
menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair
bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu
ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap
hamba sekadar nafkahnya.
Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah
membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah
menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat
tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu
dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu
orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai
rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat
rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku
cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan
Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian
dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku
kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku
amat keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah ali-Imran, ayat 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau
asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia
mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu
hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan
rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah
at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap
kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan
kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha
Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika
diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang,
diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,
bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga
hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia
tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat
dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian
dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini
sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia
kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama
hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad,
Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu
mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop
yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak
yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya
pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik
dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang
haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan
direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal
kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (Surah
at-Thalaq, ayat 3)
Nabi SAW bersabda: “Seandainya kamu
bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu
diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan
petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu
Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah
amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri
“jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya
rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah at-Talaq,
ayat 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk
murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat
amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih
sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan
rasa kaya dengan pemberian-Nya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.