Nurul Izzah Perlu Taubat kata Ustaz Nasharudin. Isu ini pada saya sangat fundamental dan menyentuh hati umat Islam di
Malaysia terutamanya malah Islam secara amnya. Ditinjau dari segi
tasawwur dan epistemologi Islam, isu ini sangat serius kerana melibatkan
perkara asas Islam itu sendiri. Oleh itu ia mesti dijelaskan secara
ilmiah tetapi mudah difahami oleh semua umat Islam dan juga rakyat
Malaysia keseluruhannya.
Pertamanya, kita sedia maklum latar belakang setting isu ini timbul,
yakni dalam suatu forum, di sebuah gereja dan dianjurkan oleh pihak
gereja.
Keduanya, berlaku cubaan untuk menjawab balik oleh Ahli Parlimen itu
dengan menyalahkan pihak-pihak tertentu, menyalahkan Utusan Malaysia
contonya kononnya disalahtafsir atau disalah petik.
Ketiganya, ramai dikalangan kita termasuk saya sendiri, mula mendapat tahu itu tersebut dalam portal media internet.
Keempat, kini seluruh rakyat Malaysia boleh lihat kenyataan asal Nurul
Izzah dalam bentuk verbatim - amat terang dan jelas maksud setiap
perkataan yang diucapkan.
Di dalam Fiqh Islami, terdapat satu kaedah penting yang diterimapakai
oleh pakar-pakar dan sarjana Islam, bermaksud (nahkum bizawahir wallah
yatawwala bi alsaraair) yakni, kita meletakkan hukum dengan perkara yang
zahir; perkara tidak zahir (yakni tidak nampak) kita serah kepada Allah
SWT.
Dalam konteks Nurul Izzah secara zahirnya dan berdasarkan pengamatan
yang kita semua dapat lihat dan dengar, beliau menyebut dengan jelas
kebebasan kepada orang Melayu memilih agama atas prinsip kebebasan
manusia untuk membuat pilihan.
Ayat "tiada paksaan dalam agama" hanya terpakai kepada bukan Islam,.
Tafsiran ini disepakati oleh seluruh Mufassirin (Ahli Tafsir) Islam
tanpa khilaf. Tafsiran ini bermaksud selagi mana seseorang itu bukan
Islam, kita sebagai Muslim, tidak ada hak sedikit pun untuk memaksa dia
memeluk Islam.
Namun, apabila orang bukan Islam itu sudah menjadi seorang Muslim maka
ayat ke-36 daripada surah al-Ahzah yang bermaksud "Tiada boleh bagi
orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila telah ditentukan oleh
Allah dan Rasul-Nya tentang satu urusan mereka tidak berhak untuk
memilih..."
Saya menyarankan supaya Nurul Izzah menarik balik kenyataan itu. Dalam
Islam, apabila kita melakukan kesalahan dan pabila sedar kita tersilap,
kita boleh membetulkannya, bertaubat diatas kesalahan kita dan Allah SWT
pasti menerima pengampunan kita.
Nurul Izzah telah mentafsirkan ayat tidak kena pada tempatnya dan tafsiran yang dibuat itu adalah tafsiran yang salah.
Istidlal (pendalilan) yang digunakan oleh Nurul Izzah kepada ayat "Tiada
paksaan dalam agama" itu untuk digunapakai kepada orang Melayu
mempunyai beberapa implikasi serius. Pertama, ia bercanggah dengan
prinsip asas "akidah dan syariah Islam". Kedua, ia bercanggah dengan
pemahaman dan tafsiran peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Kenyataan itu bagi saya bukan sahaja mengiyakan gerakan fahaman
pluralisme agama juga termasuk dalam katogeri mengiyakan fahaman
liberalisme iaitu "meliberalkan' fahaman agama Islam dan 'mempluralkan'
fahaman agama Islam.
Bagi saya ini isu besar kerana ia melibatkan akidah dan salah tafsir
terhadap Islam. Menjadi hebat lagi isu ini kerana semua orang boleh
akses di dalam YouTube, tiap-tiap malam orang tengok berita di dalam
media dan kini menjadi perdebatan, ini bukan satu isu yang remeh.
Ia berlaku kerana dibangkitkan oleh orang yang bukan ahli dalam bidang Islam tetapi membuat tafsiran yang silap terhadap Islam.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah memberi amaran yang bermaksud
"Apabila diletakkan amanah itu kepada orang yang bukan ahlinya, kamu
tunggulah saat kehancurannya". Mentafsir Islam daripada seorang yang
bukan ahlinya dan tafsiran itu pula salah melibatkan akidah, ini cukup
bahaya.
Sebagai komponen Pakatan Rakyat, PAS khasnya, kepimpinan PAS yang terdiri daripada ulama harus memandang serius kenyataan ini.
NASHARUDIN MAT ISA
Bekas Timbalan Presiden Pas
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.