Lain tempat lain caranya mereka beraya. Raya di Malaysia di meriahkan dengan solat aidil fitri, ketupat, lemang, rendang dan rumah terbuka. Juadah wajib kita ialah ketupat , lemang, rendang dan kuih tradisional melayu. Bagaimana raya di negara luar. Lihat Keunikan Raya Di Perbagai Negara
TUNISIA - PESTA 4 HARI
Biasanya, sambutan di negara ini diraikan tiga hingga empat hari. Persiapan Aidilfitri pula diadakan beberapa hari sebelum Syawal. Manisan ‘Baklawa’ atau ‘Baklava’ atau pastri manisan dan ‘kaak’ (kek - roti manis) menjadi juadah utama. Kebiasaannya, orang lelaki bersolat sunat di masjid manakala wanitanya jika tidak ke masjid, menyediakan hidangan untuk tetamu. Lumrahnya, kanak-kanak akan menerima bungkusan manisan, gula-gula, biskut dan hadiah seperti anak patung kecil manakala majlis makan tengahari diadakan di rumah ketua keluarga dan selepas itu diadakan tari menari, nyanyian, paluan gendang serta bunyi-bunyian. Tidak ketinggalan acara ziarah rumah sanak saudara yang dihidangkan dengan pelbagai juadah untuk tetamu.
NIGERIA - ‘BARKA DA SALLAH’
Aidilfitri di negara ini dikenali sebagai ‘Small Sallah’ dan ia bukan hanya disambut oleh umat Islam saja, kerana orang yang menganut Kristian turut meraikannya. Menjadi tradisi umat Islam bertukar-tukar ucapan Selamat Hari Raya ‘Barka Da Sallah,’ (bahasa Hausa). Selain itu, apabila diumumkan tarikh 1 Syawal, maka akan keluarlah pemuda dengan gendang dan alat tiupan masing-masing. Mereka akan mengetuk gendang dan meniup alat tiupan meraikan kedatangan Syawal dengan penuh kegembiraan. Cuti umum dua hari bagi menyambut Aidilfitri di negara ini dan kebiasaannya umat Islam akan pulang ke kampung halaman mengunjungi sanak saudara.
ARAB SAUDI - SUMBANGAN MISTERI
Sikap murah hati masyarakat Arab Saudi ketika Ramadan, turut diteruskan pada Syawal. Buktinya, rumah golongan miskin dan yang tidak memerlukan, menjadi sasaran si kaya yang meletakkan sumbangan hamper barangan keperluan di depan pintu. Selain itu, kanak-kanak turut menerima duit raya daripada orang tidak dikenali. Bagi keluarga, selepas bermaaf-maafan, kanak-kanak turut menerima manisan seperti gula-gula, coklat, biskut dan mainan selain duit raya. Golongan peniaga turut memberi hadiah percuma kepada pelanggannya.
TURKI - PERAYAAN MANISAN
Aidilfitri turut dikenali Bayrami Seker (Perayaan Manisan) dan biasanya akan kedengaran ucapan "Bayraminiz kutlu olsun (Semoga dirahmati menyambut Bayram) atau Bayraminiz mübarek olsun (Moga Bayram anda dirahmati) atau Mutlu Bayramlar (Selamat Hari Bayram). Pada malam hari raya biasanya bandar dan desa dihiasi lampu berwarna warni. Malah, Masjid Biru di Istanbul terang benderang dengan pelbagai lampu berwarna warni. Hari raya di Turki adalah cuti umum dan sekolah serta pejabat kerajaan akan ditutup selama tiga hari. Seperti sambutan di Malaysia, umat Islam di Turki memakai pakaian cantik dan baru di panggil Bayramlik (baju raya) pada hari raya dan berkunjung ke rumah sanak saudara. Selepas solat sunat Aidilfitri, keluarga berkumpul untuk sesi bermaafan yang mana orang muda mencium tangan kanan orang dewasa manakala yang dewasa mengusap-usap dahi dan kepala anak dan cucu mereka. Ziarah ke kawasan perkuburan turut dilakukan. Selain itu, pertunjukan pentas termasuk pertunjukan wayang kulit Karagoz and Hacivat dan majlis sambutan hari raya yang meraikan orang miskin dan anak yatim.
INDONESIA - HABUAN BONUS
Syawal lebih sinonim Idul Fitri atau Lebaran yang turut diisytiharkan cuti dua hari. Majikan wajib memberikan pekerja mereka bonus atau dipanggil ‘Tunjangan Hari Raya (THR)’ yang termaktub dalam undang-undang Buruh. Namun, ia tertakluk kawasan. Contohnya, di Jakarta bayaran bonusnya Rp1 million (RM348.68) atau satu bulan gaji dan pekerja yang bekerja di hari raya layak menerima dua kali ganda bayaran. Ramai penduduk ibu kota besar Jakarta, Surabaya dan Bandung sama ada Islam atau bukan Islam turut pulang ke kampung halaman - fenomena digelar mudik. Pada malam Aidilfitri, diadakan acara bertakbir rumah ke rumah, di surau mahupun masjid.
MYANMAR - KONGSI JUADAH
Hari Raya di sana dipanggil Eid Nei’ atau Eid Ka Lay atau Shai Mai Eid. Shai Mai adalah bihun yang direndam dalam air gula bersama isi kelapa, buahan-buahan kering dan sengkuang yang dimakan pada hari raya. Pada malam hari raya, remaja dan lelaki muda yang dikenali sebagai kumpulan Jago akan memukul gendang dan bermain alat muzik ketika berkunjung dari satu rumah ke rumah di kawasan kejiranan masing-masing. Kumpulan Jago ini kemudian dihidangkan dengan juadah hari raya dan diberikan duit raya oleh tuan rumah. Walaupun hari raya bukannya cuti umum di Myanmar, biasanya majikan akan memberi cuti kepada kakitangan mereka untuk menyambut Aidilfitri. Umat islam di Myanmar juga sering bertukar juadah hari raya dengan sanak saudara dan jiran tetangga manakala pemberian hamper dan makanan atau hadiah diberikan kepada orang miskin dan anak yatim oleh badan kebajikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.
FIJI - BUDAYA MELANESIANS
Mungkin ramai yang tidak tahu, kira-kira tujuh peratus rakyatnya beragama Islam. Majoriti berasal daripada India yang berhijrah ke negara itu lewat abad ke-19 dan 20. Ada juga penduduk tempatan ‘Melanesians’ yang menganut Islam. Memandangkan kebanyakan umat islam di sana mempunyai darah India, maka budaya dan sambutan di sana menyamai budaya dari negara. Makanan tradisi hari raya di sana juga adalah sama, (bihun direndam dengan air gula dan susu suam), samosa, kari ayam dan daging serta pelbagai makanan ringan berasal dari India. Seperti umat Islam di negara lain, umat Islam Fiji bersolat sunat Aidilfitri di masjid manakala wanita menyediakan juadah untuk dimakan selepas solat. Kanak-kanak paling gembira kerana diberikan duit raya dan bungkusan manisan serta mainan.
CHINA - KENDURI KESYUKURAN
Kira-kira 10 kumpulan etnik yang diiktiraf di China, menyambut hari raya. Mereka mewakili kira-kira 18 juta orang. Aidilfitri adalah cuti umum bagi wilayah Ningxia dan Xinjiang. Biasanya, penduduk bercuti selama tiga hari. Di wilayah Xinjiang, Aidilfitri turut disambut oleh etnik Cina Han, yang menjadi pengedar utama daging kambing, biri-biri dan lembu untuk penduduk setempat sebagai salah satu bentuk kebajikan setiap kali beraya. Di Yunnan, selain amalan kunjung mengunjungi, kebiasaannya penduduk wilayah itu akan keluar beramai-ramai menziarahi pusara Sayyid 'Ajjal's iaitu gabenor pertama wilayah yang berasal daripada Iran. Menjadi rutin setiap kali Syawal diadakan bacaan doa dan kenduri kesyukuran. Apa yang menarik di Xinjiang, selepas solat sunat Aidilfitri, lelaki Uygur akan membentuk bulatan besar dan mempersembahkan tarian tradisi masyarakat mereka dikenali sebagai Daolang Maxi Laifu. Di wilayah Urumqi, hari raya bukan hanya disambut oleh umat Islam, ia juga diraikan etnik lain yang bersama-sama menari dan memukul gendang serta meniup alat tiupan tradisional.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin
Fauxi Ahmad
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.