Oct 6, 2011

Punca Banjir Di Perlis

SISTEM perparitan yang tidak sistematik menjadi punca utama masalah banjir di Perlis. Longkang, parit, tali air dan sungai yang terdapat di Perlis tidak diselenggara dengan berkesan dan menyeluruh. Sebagai contoh, longkang di bandar Kangar tidak diselenggara dengan baik. Lorong air yang tersumbat tidak dibaiki, sampah yang terkumpul di dalam longkang dibiarkan begitu sahaja. Longkang yang dibina sangat kecil berbanding jumlah bagunan yang ada. Parit yang berumput tidak dibersihkan, tali air yang ada dibiarkan semak, sungai yang kecil dibiarkan berkeladak.

Punca Dari Empangan

Pelepasan air Empangan Timah Tasoh di katakan punca utama banjir 2011. Ini kerana isipadu air di lepaskan melebihi jumlah isipadu saiz longkang dan sungai sediada, selain faktor kadar aliran kelaut lebih lambat berbanding air Empangan yang kuat.

Jika nak lepas air empangan, kena fikir mampu tak saliran yang ada membawa air keluar dengan cepat ke laut?

Pelepasan Air Empangan Timah Tasoh Perlis

Selain itu, tiada penyelarasan sistem pengurusan dan pembinaan sistem perparitan yang menyeluruh. Jika dilihat dan diperhatikan, kawasan Arau, Kubang Gajah, Jejawi dan Beseri sistem perparitannya agak tidak sistematik.

Ada longkang berkonkrit satu meter disambungkan ke parit yang tidak berkonkrit dan terkambus. Ada longkang yang tidak masuk ke parit utama, ada parit utama yang tidak masuk ke sungai. Ada parit dan longkang yang hanya masuk ke paya dan sebagainya.

Masalah lain adalah parit besar masuk ke longkang kecil, parit besar tetapi kalbot (saluran air lalu) kecil. Longkang dan parit lebih tinggi dari aliran air, tebing longkang konkrit yang lebih tinggi dari paras tanah, tiada saluran air masuk ke longkang menyebabkan air bertakung di atas jalan.

Juga pintu kunci air lebih kecil dari sungai, tebing sungai lebih tinggi dari parit, aliran longkang yang berselirat dan bersimpang-siur. Ini menyebabkan arus air tidak lancar dan pelbagai masalah yang lain lagi. Masalah banjir ini mungkin boleh diatasi jika semua pihak yang terlibat dalam menguruskan negeri ini bekerjasama dan berbincang menyelesaikannya. Kerajaan juga perlu menyusun setiap projek mengikut keperluan menyelesaikan masalah, bukan berdasarkan keperluan peruntukan untuk wakil rakyat atau kontraktor kelas F dalam sesuatu kawasan.

Saya ingin mencadangkan supaya pada masa akan datang, setiap pembangunan yang akan dilaksanakan perlu mempunyai pelan untuk bebas banjir atau perancangan mengatasi masalah banjir. Tidak boleh membangunkan sesuatu kawasan tanpa mempertimbangkan masalah banjir, seperti bangunan tidak akan dapat CF jika tidak diluluskan oleh Jabatan Bomba. Mungkin pada masa akan datang sesuatu projek pembangunan perlu mendapat kelulusan Jabatan Parit dan Saliran untuk mengatasi masalah banjir ini.

Kerajaan negeri juga perlu mempunyai pelan induk pembangunan keseluruhan negeri Perlis. Ini supaya sebarang bentuk pembangunan yang akan dilakukan terancang dan bebas bencana, sama ada daripada api (kebakaran), air (banjir dan tsunami), angin (ribut) dan tanah (tanah runtuh dan gempa bumi). Jika mahu membina jalan atau kawasan perumahan, perancangan sistem perparitan dan aliran air perlu diambil kira secara meyeluruh. Kita tidak mahu melihat lagi pada masa akan datang jalan raya bebas banjir, tetapi rumah penduduk ditenggelami air.

Kita tidak mahu melihat kawasan perumahan bebas banjir, tetapi kawasan kampung di sekitarnya bertakung air. Kita juga tidak mahu melihat bangunan pejabat dan pasar raya yang mencakar langit tetapi pekerjanya susah hati rumah dihanyut air. - Utusan Malaysia

Apa tindakan yang perlu di buat ?

  1. Kaji isu masalah banjir sekarang, apa masalah sekarang
  2. Perancangan bandar perlu ada pelarasan antara MPK, JPS, MADA dan Orang Ramai.
  3. Kaji keutamaan projek, mana perlu di utamakan.
  4. Pelan kejuruteraan yang di sediakan perlu ada 'projection volume' air hujan dan fokus untuk 100 tahun akan datang
  5. Pembinaan jangan mengikut bajet semata-mata, tetapi bajet kena ikut keperluan. Sebab itu bila minta bajet kepada PM, kena ada unjuran 20 tahun, kena ada master plan dan master bajet. 
  6. UNIT LONGKANG TERSUMBAT  perlu di wujudkan di MPK dan JPS Perlis dan mereka perlu turun ke padang bila hari hujan membuat pemantauan. Jangan berada di pejabat bila hujan turun. Bila pegawai berada di luar semasa hujan, mereka akan tahu MASALAH YANG BERLAKU, saiz longkang yang mereka design dan pelan yang dibuat di pejabat itu sesuai atau tidak. Kerana pelan yang di buat indah di komputer tapi tak sesuai di tapak. MB minta ambil perhatian, lihat MPK dan JPS buat kerja tak semasa hujan.
  7. Jawatan teknikal peringkat negeri mengenai banjir dan alam sekitar perlu di rombak agar mereka dapat melihat isu ini serius, kerana kalau tak diatasi akan merugikan Perlis dalam  jangkamasa panjang.
Rintihan rakyat di FB 

IKTIBAR

Kita perlu ambil iktibar. Ini adalah musibah. Bala dan musibah akan turun apabila manusia lalai dengan perintah Allah. Ramai yang tinggal solat 5 waktu. Lihat ramai pekerja binaan yang tidak solat. Lihat ramai peniaga pasar malam yang tak solat, lihat ramai pemuda pemudi yang tak solat.

ALLAH menciptakan langit dan bumi serta segala isinya untuk manfaat umat manusia. Bagaimanapun, tidak ramai yang menghargai nikmat alam sekitar itu. Hal ini menyebabkan ada di kalangan manusia memandang enteng nikmat tersebut sehinggakan bertindak menggondolkan bukit-bukau sewenang-wenangnya.

Sehubungan itu, Allah memberi peringatan melalui firman-Nya yang bermaksud: Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf. (al-Rum: 41)

Berkenaan tanggungjawab manusia memelihara alam sekitar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan. (riwayat Muslim).

    No comments:

    Post a Comment

    Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...