Bicara saya kali ini ialah tentang salah faham yang sejak sekian lama tertanam dalam minda segelintir umat islam. Salah faham tentang ayat seribu dinar atau lebih tepat lagi tentang amalan mengantung ayat seribu dinar sebagai pelaris perniagaan. Istilah 1000 dinar hanya ciptaan orang kita.
Ayat Seribu Dinar sebenarnya adalah sebahagian daripada ayat-ayat dari Surah At-Talaaq( ayat kedua dan ketiga ). Ia sangat popular sebagai amalan untuk memurahkan rezeki. Di kalangan peniaga pula, terutamanya para pengusaha restoran, lazimnya akan mengantung ayat tersebut di premis perniagaan dan ia di jadikan pelaris untuk memajukan perniagaan.
Sebenarnya terdapat beberapa versi tentang kemunculan istilah atau kewujudan perkataan ayat seribu dinar ini. Tapi, dalam entry ini, saya tidak berminat untuk bercerita tentang asal usul ayat seribu dinar yang beraneka versi itu. Cuma yang pasti, istilah ayat seribu dinar ini tidak pernah dikenali pada zaman Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Dan harus diingat, semasa hayat Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat, telah lahir beberapa orang tokoh perniagaan yang berjaya dalam kalangan sahabat-sahabat yang mulia ini. Walaupun begitu, tidak pernah tercatat di dalam sejarah islam tentang kewujudan amalan mengantung ayat –ayat ini.
Jika diteliti dan dihayati ayat maksud tersebut, didapati syarat untuk dimurahkan rezeki ialah bertqawa. Taqwa walaupun ada beberapa maksud dan dibahagikan kepada beberapa pengertian, namun maksud dan pengertian yang dinyatakan dalam tafsir di atas amat wajar untuk kita fahami dan hayati, iaitu mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Kesimpulannya, bertaqwa adalah syarat untuk dimurahkan rezeki dan dikeluarkan dari masalah. Harus diyakini sesungguhnya rezeki itu datangnya daripada Allah dan salah satu daripada nama-nama Allah ialah Ar-Razzaq( الرزاق) , iaitu Maha Pemberi Rezeki. Tapi, sayang sekali, kerana terdapat segelintir umat islam termasuk yang bernama Abdul Razak( Hamba Allah Yang Maha Memberi Rezeki ) sanggup mengampu majikan untuk meraih pangkat dan jawatan hingga sanggup mencantas dan memburuk-burukan rakan-rakan sejawatan. Dan, takrif rezeki juga tidak wajar disempitkan kepada laba dan keuntungan dari aspek kewangan semata-mata, malah ketenangan, kebahagian, kerukunan rumah tangga ,kesihatan. dan zuriat yang baik juga merupakan rezeki daripada Allah.
Kembali kepada tajuk, iaitu tentang salah faham yang sejak sekian lama tertanam dalam minda segelintir umat islam. Salah faham tentang ayat seribu dinar atau lebih tepat lagi tentang amalan mengantung ayat seribu dinar sebagai pelaris perniagaan. Malah, kalau diperhatikan di beberapa buah restoran, ayat seribu dinar ini ditulis dengan begitu cantik dengan warna keemasan dan dibingkaikan dengan begitu sempurna lalu digantung di sudut-sudut tertentu. Matlamatnya ialah supaya dimurahkan rezeki atau dengan bahasa yang mudah agar restorannya sentiasa dikunjungi. Persoalannya, adakah amalan ini menepati tuntutan agama atau jauh tersasar dari landasan agama. Kalau dilihat kepada maksud ayat kedua dan ketiga dari Surah At-Talaaq yang dikenali sebagai ayat seribu dinar ini, ternyata yang dituntut ialah bertaqwa dan bukannya mengantung ayat tersebut.
Jadi apa hukumnya mengantung ayat seribu dinar di premis perniagaan ? Sebelum membuat penilaian, kita perlu merujuk kepada maksud atau niat si pengantung ayat seribu dinar tersebut. Jika sekadar untuk mengingatkan diri sendiri, pekerja dan pelanggan agar sentiasa bertaqwa kepada Allah, maka ia adalah amalan yang terpuji dan sejajar dengan tuntutan agama sebagaimana firman-Nya "Dan tetaplah memberi peringatan, Kerana Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." – (Adz-Dzaariyaat;55). Dan ia juga selari dengan sabda junjungan mulia, “Agama itu nasihat”
Tapi andainya untuk menarik pelangan atau sebagai pelaris, ditambah pula dengan kepercayaan dengan mengantung ayat seribu dinar ini akan dimurahkan rezeki, maka hukumnya syirik. Lagi teruk, di sesetengah restoran, pelayan perempuannya bukan main seksi, pekerja pula mengabaikan solat tapi ayat seribu dinar dihias indah dan digantung tinggi. Ini sudah menjauhi konsep taqwa. Begitu juga dengan amalan mengaut keuntungan berlebihan dengan menipu pelangan, ini juga tidak menepati konsep taqwa walaupun mengantung ayat seribu dinar yang berbicara tentang taqwa. Kesimpulannya, taqwa merupakan intipati daripada ayat seribu dinar dan itu yang dituntut dan itu jualah yang wajib dilaksanakan. Taqwa dalam maksud melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Apabila kita bertaqwa kepada Allah, itu bererti kita akrab dan rapat dengan-Nya. Dengan ini, mudah-mudahan kita akan dimurahkan rezeki oleh Allah yang bersifat al-Razzaq( الرزاق) Maha Pemberi Rezeki dan dimerdekakan dari belenggu masalah yang membelit diri.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.