Jan 7, 2013

Bawa Geran Asal Bila Masuk Thailand

Bawa Geran Asal Bila Masuk Thailand
Bawa Geran Asal Bila Masuk Thailand.  Ramai rakyat Malaysia dipercayai menjadi mangsa kejahilan tentang peraturan membawa masuk kenderaan ke Thailand mengakibatkan mereka menghadapi pelbagai masalah termasuk kenderaan dirampas.

Mereka yang ingin memasuki negara jiran itu dinasihatkan membawa geran asal kenderaan atas nama pemilik dan membeli insurans bagi mengelak risiko kenderaan terbabit dirampas pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ishak Ali berkata kebanyakan rakyat negara ini hanya membawa salinan geran ketika memasuki Thailand dan ini bakal mengundang padah ketika berdepan dengan Kastam Thailand.

"Selain itu, amat penting rakyat Malaysia membeli insurans yang dijual di pekan-pekan berhampiran sempadan selain mematuhi peraturan-peraturan negara itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hariJumaat.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar tempatan baru-baru ini pihak berkuasa Thailand melelong 324 kenderaan rakyat Malaysia bernilai RM15 juta yang ditinggalkan atau dirampas atas pelbagai sebab sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata pihak berkuasa Thailand yang menjalankan pemeriksaan amat sukar menerima salinan geran kenderaan atau nama pemilik tidak sama dengan nama di geran kerana mereka khuatir kenderaan itu dicuri atau cuba diseludup.

Selalunya, kenderaan berkenaan ditahan dan pihak berkuasa Thailand memberi tempoh tertentu untuk rakyat Malaysia mengemukakan bukti sebelum dirampas.

Tetapi, Ishak berkata peraturan itu hanya meliputi mereka yang ingin pergi ke Thailand di luar lingkungan dua kilometer dari pekan yang terletak di sempadan negara berkenaan dan Malaysia.

"Peraturan yang sama turut dikenakan kepada rakyat Thai yang ingin memasuki negara ini di luar lingkungan dua kilometer," katanya.

Beliau berkata rakyat kedua-dua negara perlu mengemukakan pas sempadan atau pasport antarabangsa selain geran kenderaan sama ada salinan atau asal dan tidak diwajibkan membeli insurans.

Katanya JPJ tiada rekod jumlah kenderaan Malaysia yang memasuki Thailand dan bilangan yang dirampas sambil menambah ia hanya boleh diperolehi daripada pihak berkuasa Thailand.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...