Jun 1, 2011

Kelebihan Solat Tahajud

Solat Tahajud, sembahyang sunat tahajud, apakah kelebihan dan fazilat sunat ini, sila baca.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Israa' Ayat 79:

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji."

Firman Allah ini merupakan salah satu dasar disyariatkannya solat Tahajud. Dengan begitu, solat Tahajud amat digalakkan dalam Islam. Bahkan, solat Tahajud menduduki posisi kedua setelah solat wajib.

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW;

"Solat yang manakah yang paling utama setelah solat wajib? "

Rasulullah SAW menjawab;
"Solat Tahajud! "

Erti Tahujud?

Tahajud sendiri ertinya bangun dari tidur. Dengan demikian, solat Tahajud adalah solat yang dikerjakan di malam hari dan dilaksanakan setelah tidur terlebih dahulu, walaupun tidurnya hanya sebentar. Solat Tahajud yang dilakukan di tengah malam, di mana kebanyakan manusia terlelap dalam tidurnya dan berbagai aktiviti kehidupan berhenti, serta suasana begitu hening, sunyi, tenang dan ianya akan menunjang konsentrasi seseorang yang akan mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Di samping keadaan luaran ini, juga terdapat keadaan dalaman, iaitu sebuah perasaan ketenangan batin yang dirasakan manusia yang melakukan solat Tahajud.

Ketenangan dan ketenteraman yang diperolehi oleh seseorang yang melakukan solat Tahajud memiliki nilai spiritual yang sangat tinggi. Sebab, dalam solat Tahajud terdapat dimensi zikrullah (mengingat Allah).

Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rad ayat 28:

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah".

Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. "

Sehingga, dalam perkara ini terdapat rumusan hukum imbasan atau sebab akibat. Yakni, bila kita ingin mendapatkan rasa tenang dan tenteram, maka berdekat-dekatlah kepada Dia Yang Maha Tenang dan Maha Tenteram, agar sifat-sifat itu mengimbas kepada kita.

Tahajud - petunjuk untuk menyelesaikan masalah!

Solat Tahajud yang dikerjakan dengan ikhlas akan mampu mengurangi beban kejiwaan yang sedang menyelimuti seseorang. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Muzzammil ayat 1 dan 2:

" Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa yang tak dapat tidak untuk berehat".

Kata berselimut dalam ayat di atas secara kontekstual dapat diertikan dengan orang yang sedang dirundung masalah, kegelisahan, kecemasan, kekhuatiran, atau ketakutan kerana menghadapi berbagai kemungkinan yang menimpanya. Sebab; ayat tadi turun setelah Rasulullah SAW mulai mendapat ejekan dan ancaman dari kaum Quraisy.

Solat Tahajud merupakan keperluan dalam menghadapi atau menyelesaikan masalah kehidupan. Rasulullah SAW bersabda;

"Kalian harus mengerjakan solat malam, sebab itu kebiasaan orang-orang soleh sebelummu, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, penebus dosa dan keburukan, serta penangkal penyakit dari badan."

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...