Pages

Jan 25, 2012

TAPAK PEMBUANGAN SAMPAH MESRA ALAM

PENYEDIAAN TAPAK PEMBUANGAN SAMPAH MESRA ALAM . Dengan kemajuan pengetahuan sains kini, ahli geosains boleh membantu menyediakan tapak pembuangan sampah yang dapat meminimumkan kesan pencemaran terahadap air bawah tanah. Tapak penimbusan sampah moden dibuat dengan menyediakan sistem pelapik (barrier system) yang bertujuan untuk memisahkan bahan-bahan pencemar dalam sampah sarap daripada tanah di tapak penimbusan sampah tersebut.

Pelapik boleh dibina dari pelbagai jenis bahan, antaranya ialah tanah (natural clay), bentonit (Na-montmorillonite atau Ca-montmorillonite), dan bahan geosintetik. Pelapik tanah adalah merupakan jenis yang termurah dan paling popular jika mendapati terdapat bahan tanah yang mempunyai ketertelapan yang sesuai di kawasan tapak pembuangan sampah atau kawasan berhampiran. Ianya boleh digunakan sendirian membentuk satu lapisan pelapik
(single liner system) atau boleh bergabung dengan bahan-bahan lain membentuk sistem pelapik komposit, dwi lapis atau berganda (composite, double, or multiple liner system).

Jika tanah di kawasan tersebut tidak mempunyai kandungan bahan liat (clay) yang cukup untuk mencapai ketertelapan yang sesuai, maka bahan bahan lain seperti bentonite boleh digunakan sebagai tambahan untuk meningkatkan sifat ketertelapan tanah. Pelapik dari bahan bentonite boleh menganti pelapik tanah. Manakala itu, bahan geotextiles juga boleh digunakan bersama dengan bentonite membentuk pelapik liat geosintetik (Geosynthetic clay liner)

Penulis hanya akan membincangkan pelapik jenis tanah kerana pelapik jenis ini adalah yang paling popular, paling murah, tidak mudah rosak dan paling senang diperolehi. Kajian lanjut pelapik jenis tanah terutama kajian yang berkaitan dengan sifat fizikal dan kimia tanah serta interaksi komponen tanah dengan unsur-unsur pencemar perlu dijalankan untuk mengenalpasti kesesuaian bahan tersebut bagi tujuan pelapik kejuruteraan tapak pembuangan sisa.

PELAPIK TANAH

Pelapik tanah di bawah tapak pelupusan sampah mempunyai kebaikan yang tersendiri berbanding dengan bahan pelapik lain. Tanah terbentuk akibat dari proses luluhawa atau uraian fizikal dan kimia ke atas sesuatu jasad batuan. Oleh itu, tanah boleh diperolehi dengan mudah dan murah di kawasan tapak itu sendiri. Dalam hal ini, tanah boleh dipadatkan untuk mendapatkan nilai ketertelapan (permeability) rendah yang disyaratkan oleh Jabatan Alam Sekitar (kurang dari 1x10-9 m/saat). Pelapik tanah juga mempunyai keupayaan untuk bertindak secara fizikal dengan cara menyekat pengaliran keluar bahan pencemar dan juga secara kimia dengan menjerap unsur-unsur kimia dalam cecair sampah.

Dari segi geologinya, tidak semua tanah mempunyai ciri-ciri yang sesuai untuk dijadikan bahan pelapik tapak penimbusan sampah. Ini adalah kerana tanah mempunyai variasi tersendiri dari segi komponen pepejal seperti mineral lempung, bahan organik, bahan amophous, bahan berkapur, pH dan sebagainya. Di United Kingdom, teknik pembuangan sampah secara penimbusan banyak dijalankan kerana tapaknya yang sesuai dari segi geologi dan hidrogeologi.

Dengan kata lain, sebelum pembukaan sesuatu tapak penimbusan sampah sarap dibuat, kajian terperinci berkaitan dengan geologi dan hidrogeologi sesuatu kawasan hendaklah dilakukan. Kajian ini penting bagi menjamin tapak yang dipilih benar-benar sesuai dan mempunyai keupayaan yang tinggi untuk menghalang unsur-unsur kimia bahan pencemar dari mencemari alam sekitar.

Salah satu contoh kawasan pembuangan sampah secara timbusan yang menggunakan pelapik tanah ialah di Cardiff, United Kingdom. Di tapak ini, pelapik asli yang terdiri dari tanah alluvium berketebalan 6.95 meter hingga 9.30 meter telah bertindak secara semulajadi dan berjaya menahan unsur kimia pencemar daripada meresap masuk ke dalam air bawah tanah di kawasan sekitarnya. Secara teorinya, semakin tebal bahan pelapik, maka semakin baik fungsinya sebagai penahan semulajadi bahan pencemar. Tetapi perlu diingat, bahawa tidak semua jenis tanah berupaya untuk menjerap dan menahan unsur-unsur pencemar tersebut.

sumber : http://www.ukm.my/geologi/geopena/mag%20bumi_landfill.pdf

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.