Pages

Oct 5, 2011

Karipap 10 Jenis Inti

Kuih karipap memang tidak asing dan menjadi kegemaran masyarakat di Malaysia hingga menjadi antara menu hidangan tanpa mengira waktu atau majlis apa sekali pun. Namun pernahkah anda memakan sejenis karipap yang intinya diadun dengan menggabungkan sembilan jenis inti karipap yang terdiri antaranya daging rusa, ayam, sotong dan sardin?

Kalau ingin mencuba kunjungilah gerai di Taman Chai Leng, Butterworth dan Kilang Lama di sini, milik sepasang suami isteri dari Tasek Gelugor, Seberang Prai.

Inti campuran ini terhasil dengan menggunakan ramuan rempah ratus yang dicipta sendiri oleh pasangan itu, yang bertujuan untuk memberi kelainan rasa kepada pembeli.

Dan lebih uniknya karipap ini ialah saiznya hampir sebesar telapak tangan dan harganya pula hanya RM2.00 sebiji. Ibarat makan sebiji sudah puas.

Keistimewaan dan kelainan yang terdapat pada karipap inti campuran yang dihasilkan pasangan ini telah menarik ramai pelanggan untuk mengunjungi dan mencubanya.

Selain itu, pasangan ini juga menjual sembilan jenis karipap pelbagai inti iaitu inti daging rusa, ayam, kambing, ketam, telur, daging lembu, ubi kentang, sotong dan sardin.

Untuk sembilan jenis karipap ini, yang juga bersaiz telapak tangan, ia dijual pada harga RM1 sebiji.

HASILKAN 1,000 BIJI SEHARI

Pengusaha dan penjual karipap, Faisal Hashim, 36, dan isterinya Norazlin Sulaiman, 36, melalui syarikat Mutiara Karipap berjaya menghasil dan menjual kudapan ini hampir 1,000 biji sehari di dua lokasi berkenaan dari pukul 1 tengah hari hingga 6 petang.

Faisal bersama Norazlin yang ditemui di gerai kecil mereka di persimpangan lampu trafik Kilang Lama di sini berkata isterinya yang menjadi teraju utama menyediakan pelbagai resepi inti.

"Bermula dengan hanya 20 biji karipap dijual di Taman Chai Leng lima tahun lepas kini ia meningkat sehingga 500 biji setiap hari dan jumlah itu tidak pernah kurang sejak 2008. Saya bersyukur atas sambutan yang diberi pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum," kata Faisal ketika ditemui Bernama di sini.

PENGALAMAN MEMERHATI MAMAK BERNIAGA

Katanya, sejak enam bulan lepas mereka mengembangkan operasi dengan menambah sebuah lagi cawangan di lokasi yang agak strategik di Kilang Lama di sini dan sehingga ini jumlah karipap yang mampu dijual di situ adalah antara 300 dan 500 biji sehari.

"Inti yang popular di kalangan peminat karipap adalah daging rusa, ayam dan sardin," katanya.

Faisal yang berasal dari Jelutong, Pulau Pinang mendapat ilham mengusahakan jualan karipap ini daripada pengalaman memerhatikan seorang mamak peniaga karipap.

Beliau melihat mamak berkenaan berjaja dengan hanya membawa sebuah bakul besar penuh karipap di stesen bas atau pawagam sekitar Pulau Pinang dan Selatan Kedah pada tahun 70-an dan 80-an.

Faisal berkata dia pernah bekerja di sebuah agensi forwarding dengan pendapatan hampir RM3,000 sebulan selama 15 tahun dan setelah menjalankan usaha menggoreng dan menjual karipap secara sambilan selama tiga tahun dia membuat keputusan berhenti kerja pada 2009.

"Sekarang baru saya faham bagaimana perasaan bila berniaga walaupun di sebuah gerai usang di pinggir jalan namun pendapatannya boleh mencecah lima angka sebulan," katanya.

JADI REBUTAN HINGGAKAN PELANCONG LUAR

Faisal berkata, faktor itu juga menyebabkan beliau menolak untuk bekerja makan gaji tetapi akan terus menyambung usaha bersama isterinya menggoreng dan menjual karipap serta mencipta beberapa lagi jenis inti karipap untuk menarik ramai lagi pelanggan.

Katanya dia dan isteri menetap di Kampung Pokok Tampang, Tasik Gelugor, Seberang Perai, kira-kira 15 km dari sini, dan berulang-alik mengendalikan gerai mereka di Kilang Lama di sini setiap hari.

Gerainya di Taman Chai Leng pula diuruskan dua pembantu dan tugas mengendalikan bahan asas untuk penyediaan inti seperti mengupas keledek dan kentang dikendalikan seorang lagi pembantu manakala untuk penyediaan rempah ratus dan adunan inti karipap pula diuruskan sendiri oleh Faisal dan isteri.

Beliau berkata, karipapnya pernah menjadi rebutan dalam kalangan eksekutif kilang, pelancong Eropah dan tempatan yang menginap di hotel-hotel berhampiran Taman Chai Leng.

Faisal dan Norazlin berharap pada masa hadapan mereka akan dapat mewujudkan syarikat franchise membekalkan karipap pelbagai cita rasa ciptaan mereka untuk diedarkan ke seluruh negara.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih, kerana memberi komen yang menarik. Minta Tulis nama anda.